Friday, April 27, 2007

Lojing - Husam hendak tipu siapa lagi?

Lojing - Saya hendak tutup kisah Lojing dengan memaparkan petikan-petikan berita daripada akhbar, kerana selepas tersiarnya tiga berita ini, kerajaaan Kelantan memang sudah tak mampu hendak kata apa-apa lagi. Harakah sebagai lidah rasmi mereka juga sudah tidak menyiarkan apa-apa lagi berita tentang Lojing. Maklumlah, isu Lojing sudah mencalar kewibawaan Kerajaan Kelantan!


Petikan Akhbar 16 April 2007



Kelantan mengaku belum warta Lojing

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad dan Wan Faizal Ismayatim

Kerajaan negeri mahu lakukan secara berperingkat


KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan mengaku belum mewartakan kawasan tanah tinggi Lojing sebagai hutan simpan seperti ditetapkan Majlis Tanah Negara.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata kerajaan negeri bercadang berbuat demikian, tetapi mengambil masa serta perlu dilakukan secara berperingkat.

“Kerajaan negeri faham tanah tinggi Lojing perlu diwartakan sebagai hutan simpan. Saranan Timbalan Perdana Menteri memang kita ambil kira, cuma perlu dilakukan secara berperingkat.

“Sebab itu, kita ada Jawatankuasa Pembangunan Tanah Tinggi Lojing yang berbincang mengenainya dan perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak terlebih dulu,” katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu semua kawasan tadahan air diwartakan mengikut ketetapan Majlis Tanah Negara bagi mengelak kegiatan pembalakan secara rakus sehingga menjejaskan kawasan hutan simpan.

Dalam isu berkaitan, Ahmad menafikan mengeluarkan kenyataan atau arahan supaya pegawai Jabatan Perhutanan negeri tidak memberi maklumat berhubung isu pembalakan dan pembukaan tanah di Lojing.

“Saya tidak buat apa-apa surat mengenainya. Surat dari mana, itu saya pun tak tahu. Sebarang arahan berkaitan kepentingan kerajaan negeri dikeluarkan hasil mesyuarat Exco.

“Saya menafikan sebarang surat dikeluarkan berhubung arahan itu daripada pejabat saya. Saya sendiri tidak pernah mengeluarkan surat atau arahan kepada Jabatan Perhutanan.

“Jika surat itu dikeluarkan pihak lain, saya tak tahu. Saya juga tidak tahu sama ada sebarang surat dikeluarkan Pejabat Menteri Besar kerana bukan di bawah saya,” katanya.

Kelmarin, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid, dilaporkan mendakwa Kerajaan Kelantan mengeluarkan surat mengarahkan Jabatan Perhutanan tidak memberi sebarang maklumat mengenai Lojing.

BH/16 April 2007


Petikan Akhbar 17 April 2007


Menteri ada bukti Kelantan beri arahan

Oleh Amirullah Andi Nur

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Azmi Khalid semalam mendakwa kerajaan Kelantan berbohong berhubung surat yang mengarahkan Jabatan Perhutanan supaya tidak mengeluarkan sebarang maklumat mengenai kegiatan pembalakan dan penerokaan hutan di Tanah Tinggi Lojing.


Malah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang mempunyai surat arahan berkenaan, sedia mendedahkan kepada umum sekiranya kerajaan Kelantan enggan mengaku mengeluarkan arahan berkenaan.

“Nasihat saya pada pihak berkenaan supaya memeriksa (pengeluaran surat itu) dengan pejabat Menteri Besar Kelantan, sebab kalau saya dedahkan, ia mungkin akan memalukan mereka.

“Sekarang, saya beri peluang sekali lagi (untuk menarik balik kenyataan awal),” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Antarabangsa Ke-2 Institusi dan Pertubuhan Akademik Yang Terbabit Dalam Pendidikan serta Latihan Keselamatanbio di Hotel Corus, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang menafikan mengeluarkan surat arahan itu kepada Jabatan Perhutanan.

Kegiatan pembalakan dan penerokaan hutan di Tanah Tinggi Lojing yang menjadi kawasan tadahan hujan mendapat kritikan pelbagai pihak kerana boleh menjejaskan alam semula jadi yang penting kepada ekologi setempat.

Azmi berkata, kerajaan Pas Kelantan harus bercakap benar sejajar prinsip (berteraskan Islam) yang diamalkan selama ini.

“Hari ini (semalam), Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan akan berjumpa saya bagi membincangkan isu itu atas nasihat kerajaan negeri. Saya sukacita untuk menjalin kerjasama dengan mereka,” katanya.

Ditanya sekiranya kerajaan Kelantan terus enggan menarik balik penafian itu, Azmi berkata: “Kalau saya dedahkan, lagi malu. Jangan tunggu sehingga saya tunjukkan semua kepada umum.”

Mengenai siasatan membabitkan kementerian berhubung isu itu, Azmi berkata, laporan mengenainya sudah siap.

Beliau mengesahkan Tanah Tinggi Lojing tidak pernah diwartakan mengikut sebarang akta, sekali gus menyukarkan tindakan perundangan.

“Tindakan yang boleh diambil membabitkan aspek alam sekitar kerana tiga syarikat pembalakan gagal membuat permohonan penilaian kesan alam sekitar,” katanya.

BH/17 April 2007


Petikan Akhbar 18 April 2007



Pas akui arah isu Lojing ‘dirahsia’

Oleh Wan Faizal Ismayatim

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, semalam mengakui Pejabat Menteri Besar ada mengeluarkan arahan kepada Jabatan Perhutanan negeri supaya tidak mengeluarkan sebarang maklumat mengenai pembalakan di Lojing.


Katanya, beliau baru diberitahu mengenai surat itu oleh pejabat Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta berpeluang membaca surat arahan itu, semalam.

“Saya mengakui surat arahan itu dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar. Saya (sebelum ini) tidak menyedarinya kerana berpandukan kepada keputusan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

"Bagaimanapun, saya ingin menjelaskan yang saya tidak pernah terbabit mengeluarkan arahan seperti itu kepada Jabatan Perhutanan negeri," katanya kepada Berita Harian.

Sabtu lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid berkata beliau akan mendedahkan surat arahan daripada Kerajaan Kelantan yang melarang Jabatan Perhutanan negeri memberi maklumat berhubung isu pembalakan dan penerokaan di Tanah Tinggi Lojing.

Berikutan itu, Azmi meminta Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tanah dan Wilayah negeri menarik balik kenyataan kelmarin bahawa kerajaan negeri itu tidak pernah mengeluarkan arahan kepada jabatan berkenaan.

Menjelaskan kekeliruan itu, Ahmad berkata, surat berkenaan sebenarnya bukan bermaksud menghalang atau mengarahkan secara mutlak Pengarah Jabatan Perhutanan negeri untuk tidak memberi maklumat kepada Kerajaan Pusat.

"Arahan itu dikeluarkan supaya tiada sebarang maklumat diberikan kepada kementeriannya berhubung isu Lojing. Tapi, surat itu bermaksud segala perkara berkaitan hal ehwal hutan di negeri ini perlu terlebih dulu mendapatkan kebenaran Menteri Besar,” katanya.

"Kita bukan berniat untuk menghalang maklumat itu dikeluarkan. Surat itu membabitkan perkara yang berkaitan hutan di seluruh negeri dan bukan Lojing semata-mata,” katanya.

BH/18 April 2007



Petikan Akhbar 20 April 2007



Pemilik 3 syarikat konsesi Lojing orang sama

MACHANG 20 April – Kerajaan Kelantan pimpinan PAS jelas membelakangi rakyat negeri ini dengan meluluskan tanah seluas 1,200 hektar kepada warga asing untuk kegiatan pertanian di Lojing, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sazmi Miah.

Bagaimanapun Sazmi berkata, ini amat berbeza ketika Kelantan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 1985 di mana sebahagian tanah di kawasan Lojing diluluskan kepada agensi-agensi milik kerajaan negeri seperti Yayasan Islam Kelantan (YIK) termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Tindakan memberi konsesi itu seolah-olah mahu menggadaikan sebahagian besar tanah di kawasan Lojing kepada warga asing, katanya.

“Apa yang dipersoalkan kenapa tanah yang diluluskan kepada tiga syarikat itu dimiliki orang yang sama, dua warga Singapura dan dua rakyat Johor,” katanya kepada Bernama selepas menziarahi seorang penduduk yang sakit di Banggol Judah di sini hari ini.

Keempat-empat mereka mempunyai nama dalam ketiga-tiga syarikat yang diberi konsesi, masing-masing seluas 400 hektar pada September 2006 selama 66 tahun, katanya.

Sazmi berkata, beliau mendapat tahu mengenainya apabila membuat semakan dengan Pendaftar Syarikat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, sekiranya dakwaan beliau itu tidak betul kerajaan negeri hendaklah mengemukakan bukti sebaliknya.

Sazmi juga berkata, rakyat Kelantan terutama yang tinggal di kuala-kuala Sungai Kelantan akan turut menerima kesan buruk pada musim tengkujuh akan datang berikutan kesan pembalakan yang tidak terkawal di kawasan Hulu Kelantan.

– Bernama

...............................................

p/s

Lojing......... jangan tanya Nik Aziz, kerana hanya Husam sahaja yang mengetahui apa yang dia lakukan di sana. Pendek kata..... "kena tipu ke Husam belakooo!


No comments: