Rencana |
Leraikan kekeliruan di Lojing
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB (WARTAWAN UTUSAN)
TIDAK sebagaimana selalu, wajah Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agak mencuka Rabu lalu, ketika berdepan dengan wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Kota Darulnaim.
Bayangan rasa tidak senang dengan apa yang terpapar berhubung Lojing sukar untuk disembunyikan lagi, seperti sukarnya untuk menutup luasnya wajah buruk tanah tinggi itu yang giat diteroka.
Kawasan itu yang dibiarkan gondol atas apa sahaja alasan pembangunan sehingga mengancam alam sekitar yang indah itu yang turut memanaskan suhu politik dan memalitkan lumpur pada pentadbiran negeri.
Gambar-gambar yang dirakam di sekitar kawasan tanah tinggi itu sememangnya cukup melukakan perasaan mereka yang menghargai dan mencintai alam sekitar dan barangkali perasaan Nik Abdul Aziz sendiri walaupun tidak diluahkan.
Tanah tinggi Lojing terletak dalam jajahan Gua Musang bersempadan dengan Pahang (Cameron Highlands) dan Perak dengan kawasan ketinggian lebih 1,400 meter meliputi seluas 32,000 hektar serta suhu sekitar 16 celsius.
Difahamkan kawasan seluas 22,000 hektar yang diluluskan kepada 22 syarikat kerajaan negeri, swasta dan lain-lain untuk pertanian, rekreasi dan ekopelancongan, dengan sumber pembalakan di kawasan terbabit dianggarkan RM250 juta.
Isu pembalakan haram dan penerokaan dan pembalakan yang tidak terkawal di kawasan itu kembali memuncak beberapa hari lalu kerana keadaan kemusnahan alam sekitar dilaporkan semakin parah.
Kebimbangan terhadap kemusnahan Lojing sudah lama diperkatakan, bibit-bibit awal telah bermula kira-kira sedekad lalu dan sememangnya disedari oleh kerajaan negeri sehingga Nik Abdul Aziz turut meninjau ke kawasan yang mencetuskan isu itu.
Beberapa langkah tindakan diumumkan termasuk kawalan dan tindakan tegas yang akan diambil namun ia berulang lagi kini dalam jumlah yang cukup besar seolah-olah, balak, suatu sumber kekayaan itu perlu dihabiskan segera kini.
Sultan sendiri menyedari gejala yang membimbangkan itu dan akhirnya menegur kerajaan negeri semalam dan mengingatkan bahawa sumber alam ini tidak dibiarkan musnah oleh pihak-pihak tertentu yang ingin mencari keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan kesan yang bakal menimpa.
Siapakah pihak-pihak tertentu yang dimaksudkan oleh baginda yang dengan mudah membelakangkan segala syarat dan peraturan, menutup pandangan pihak berkuasa negeri?
Baginda bertitah kegagalan menguruskan sumber hutan secara mapan akan menyebabkan generasi akan datang berhadapan dengan pelbagai risiko bencana berpunca daripada kesilapan kerajaan.
Kerajaan negeri tidak harus melepas tanggungjawab dengan hanya menuding kesalahan kepada pihak lain berhubung isu penggondolan tanah tinggi Lojing yang bakal memusnahkan khazanah alam, sumber kekayaan masa depan negeri.
Pada masa yang sama, dalam jawapan awalnya ia seakan cuba menggambarkan kepada rakyat bahawa ia suatu isu yang sengaja diadakan-adakan untuk menjejaskan kepimpinan negeri dan parti menjelang pilihan raya yang semakin hampir.
Tentunya dengan merujuk keikhlasan pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar membuat pendedahan dan betapa masalah alam sekitar di negeri-negeri lain yang dikatakan jauh lebih besar tetapi tidak begitu diperbesarkan oleh Kerajaan Pusat dan media.
‘‘Mereka akan menjawab di negeri lain ada juga penyakit macam ini. Menyatakan orang lain turut bermasalah tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi, tanpa berbincang dan bertindak mengatasinya,” ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa.
Tentunya, isu penggondolan puncak bukit dan gunung, penebangan balak secara meluas dengan sungai yang tercemar sebagaimana yang dipaparkan oleh media beberapa hari lalu bukanlah suatu yang direka-reka.
‘‘Mereka (pimpinan kerajaan) patut mengambil usaha untuk pergi melihat dan bukan keluarkan kenyataan secara politik dengan memanipulasikan jawapan terhadap pendedahan dan kebimbangan yang dilontarkan oleh pelbagai pihak,” ujarnya.
Nik Abdul Aziz ketika mengulas berkata, pihak kerajaan sepatutnya mempersoalkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) tentang peranannya sebelum mempersoalkan sikap kerajaan negeri.
Beliau menafikan kerajaan pimpinannya bersikap ambil mudah terhadap soal penerokaan tanah di kawasan berkenaan dengan merujuk kepada beberapa tindakan telah diambil terhadap syarikat-syarikat yang melanggar syarat.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat negeri, Datuk Husam Musa yang diberi kepercayaan memikul tanggungjawab besar oleh Nik Abdul Aziz pula berkata, kebanyakan tanah yang diserahkan kepada pelbagai pihak diluluskan semasa kerajaan Barisan Nasional.
Malah Husam dilaporkan berkata, dalam isu ini kerajaan negeri seolah-
olah ditikam dari belakang oleh agensi-
agensi penguat kuasa berhubung pembangunan dan pembalakan di Lojing yang selama ini memberi gambaran bahawa keadaan adalah terkawal.
Tentunya timbul persoalan, sejauh mana pula kepekaan kerajaan negeri dan Husam sendiri yang menyifatkan dirinya sebagai pro-conservationsit jika wajah terbaru Lojing tidak didedahkan.
Apakah asasnya juga masalah yang berbangkit kini dikaitkan dengan sebahagian kelulusan tanah yang dibuat oleh kerajaan Narisan Nasional dulu.
‘‘Jika ia berlaku 20 tahun lalu, adakah logik kegondolan masih berlaku di situ. Ini bukan waktunya untuk mempersoalkan siapa yang meluluskan dan kepada siapa diberikan, tetapi apa yang berlaku sekarang di bawah kerajaan yang dikatakan bertanggungjawab.
‘‘Ada kawasan yang baru sahaja balak dikeluarkan, jika ia untuk tanaman sayuran tentunya di kawasan agak landai dan perlu digondolkan tetapi perlulah dengan keluasan yang terhad dan bukannya beratus sehingga beribu hektar.
‘‘Kawasan kecerunan melebihi 25 darjah turut digondolkan hingga ke puncak bukit atau gunung untuk tanaman apa? Semua ini tidak akan berlaku jika kerajaan negeri mampu menguruskan alam sekitar dengan baik melalui garis panduan yang ditetapkan dan dipertahankan,” ujar Annuar.
Masalah lojing sememangnya cukup besar dari segi kepentingan rakyat, negeri dan alam sekitar, malah cukup besarnya juga bagi masa depan politik kerajaan negeri dan barisan kepimpinannya.
Mendedahkan alasan demi alasan hanya akan menyebabkan masyarakat keliru terhadap nilai alam sekitar Lojing, permata yang tidak ternilai bagi masa depan negeri dan rakyat.
Lojing perlu diselamatkan sebelum keadaan sudah cukup terlewat sehingga sumber kekyaaan negeri ini pada masa depan lenyap apabila ia tidak lagi punyai nilai dari segi pelancongan, alam sekitar dan sumber air.
No comments:
Post a Comment