Posted on Monday, April 16 @ 18:05:24 MYT
Sdr Editor!
Barisan Nasional (BN) awal-awal lagi telah mengisytiharkan bahawa calon dari MIC akan terus diletakkan sebagai calonnya pada pilihanraya kecil Ijok yang akan berlangsung pada 28 April ini.
Pembangkang juga seperti sudah mencapai kata putus untuk memberi laluan kepada calon dari Parti Keadilan untuk beradu nasib. Ini juga membuktikan agenda boikot pembangkang terutama Keadilan cukup sekadar di Batu Talam sahaja.
Jelas pada Parti Keadilan berasakan mereka ada peluang untuk kalau tidak menang pun boleh menjadikan Ijok sebagai medan untuk mereka melepas geram.
Dalam semua keadaan sudah pasti tinggal Pas sahaja yang terus berada dalam kekeliruan. Pas keliru untuk memilih rakan atau menjaga maruahnya.
Parti Keadilan yang mempelopori tindakan boikot di Batu Talam nampaknya sudah jauh ke depan.
Mereka bukan sahaja di peringkat pertimbangan sama ada mahu meneruskan pemboikotan atau tidak malah sudah ke tahap untuk memilih siapa di kalangan pemimpin mereka untuk diletakkan sebagai calon di Ijok.
Kini tinggal Pas sahaja yang terus pening kepala. Ternyata tindakannya yang termakan dengan hasutan Parti Keadilan untuk memboikot pilihanraya telah memakan diri.
Malah sehingga kini, Pas seperti bergelut dengan kemelut dalaman mereka ekoran pendapat yang berlawanan antara satu sama lain.
Jika mengikut kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang Pas masih terikat dengan keputusannya memboikot pilihanraya sebagai membantah kegagalan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam mengendalikan pilihanraya yang adil dan bebas
Namun kenyataan Hadi itu bertentangan sama sekali dengan Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa yang berkata parti itu akan membantu calon Parti Keadilan di Ijok.
Manakala Naib Presiden Pas, yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali pula mengumumkan pihaknya akan hanya membantu Pari Keadilan di Ijok sekiranya, Bendahari Agung Parti Keadilan, Tan Sri Khalid Ibrahim dipilih sebagai calonnya.
Sementara Pemuda Pas menerusi Ketuanya, Salahuddin Ayub membuat pendirian jelas bahawa Pemda Pas akan memboikot pilihanraya kecik Ijok.
Ternyata dalam permainan politik di kalangan parti pembangkang Pas sudah terjerat dengan tindakan kurang bijak pemimpin mereka yang terpedaya dengan hasutan Parti Keadilan.
Nampaknya jika sebelum ini Pas seperti berjaya mempergunakan Parti Keadilan untuk kepentingan politik mereka jelas dengan kehadiran Anwar Ibrahim kali ini Pas pula terperangkap dengan taktik licik Penasihat Parti Keadilan itu.
Sudah pasti pilihanraya kecil Ijon bukan sahaja satu ujian besar buat Parti Keadilan untuk membuktikan kekuatan mereka malah Pas juga berdepan dengan ujian untuk melihat sejauh mana kebijaksanaan pemimpin mereka merencana strategi bagi berdepan pilihanraya umum akan datang.
Pemimpin Pas seharusnya membuat pertimbangan atau satu keputusan yang tepat kerana sebarang tindakan kurang cerdik mereka bukan sahaja akan memperlihatkan parti itu sedang diperbodohkan tetapi akan memberi kesan kepada ahli dan juga penyokong mereka.
Shah Putera
Dipetik daripada Laman Web Pemuda UMNO Malaysia
http://www.pemudaumno.org.my/modules.php?name=News&file=article&sid=6464
No comments:
Post a Comment