Tuesday, May 1, 2007

Harakah - mana satu cerita yang betul ni?

CERITA 1
Selasa 1 Mei 2007 | 13 Rabiul Akhir 1428 Hijrah

Cerita mangsa serangan samseng, Pemuda PAS kutuk keganasan Pemuda Umno

Intan Abdullah
Mon | Apr 30, 07 | 11:46:05 AM

KUALA LUMPUR, 30 April (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengutuk tindakan ganas samseng-samseng Umno yang menyerang dan merompak petugas-petugas Pilihanraya BA dalam pilihan raya kecil N.11 Dun Ijok yang lalu.

Pemuda Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan mereka yang dihantar kepada Harakahdaily hari ini, mendesak agar pihak Polis membuat tangkapan dan menyiasat kes terbabit.

Menurut Ketua Pemudanya, Kamaruzaman Mohamad beliau mahu agar pemimpin Umno meminta maaf dan mengambil tindakan disiplin terhadap ahli mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Mangsa kejadian iaitu seorang pemuda PAS dari Hulu Langat, Nazar Abdul Latif dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut kejadian tersebut.

Menurut beliau, pada pukul 6.15 pagi, 28 April 2007 iaitu pada pagi hari pengundian selepas menunaikan solat subuh beliau dan lima orang petugas lain melihat satu banner yang tertulis “Anwar Agen Yahudi” digantungkan ditepi jalan, tidak jauh dari Bilik Gerakan Pilihan Raya BN yang dihuni oleh ahli Umno Klang.

Pemuda-pemuda cuba menurunkan banner berkenaan. Namun sebelum sempat banner diturunkan, seramai lebih 40 orang petugas Umno Klang dari dalam longkang yang berhampiran menyerang mereka.


CERITA 2
Selasa 1 Mei 2007 | 13 Rabiul Akhir 1428 Hijrah

Mangsa pukul samseng Pemuda Umno di Ijok beri bukti kepada Polis

Anis Nazri dan Intan Abdullah
Mon | Apr 30, 07 | 11:05:34 PM

KUALA SELANGOR, 30 April (Hrkh) - Mangsa kejadian pukul pada hari pengundian 28 April lalu, tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Selangor bersama beberapa Pemuda PAS kawasan Hulu Langat, petang tadi.

Ia berikutan kejadian yang berlaku pada pagi hari pembuangan undi, yang menyebabkan empat orang daripada mereka mengalami kecederaan serius dan terpaksa dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Menceritakan semula kejadian tersebut, salah seorang mangsa, Mat Jan berkata pada malam terakhir kempen, beliau bersama beberapa orang pemuda telah ditugaskan bagi mengawal keselamatan serta mengutip risalah yang berunsur fitnah yang sedang giat disebarkan.

Keesokan harinya, pada pukul 6.15 pagi, selepas menunaikan solat subuh, beliau dan lima orang petugas dalam perjalanan menuju ke bilik gerakan KeADILan untuk meneruskan tugasan rondaan,dan kemudiannya ternampak banner KeADILan jatuh tidak jauh dari Bilik Gerakan Pilihan Raya BN yang dihuni oleh ahli Umno Klang.

Mereka bertindak membetulkan banner berkenaan, bagaimanapun sebelum sempat melakukannya, kira-kira 40 orang petugas Umno Klang melompat keluar dari dalam longkang yang berhampiran dan menyerang mereka.


_____________________________________________

Lihat berita yang saya petik daripada Harakah Daily di atas...... yang mana satu agaknya cerita yang betul?

Nampaknya Intan Abdullah telah mengubah berita yang ditulisnya!

Hanya dia sahaja yang mengetahui apa 'niatnya' sewaktu menulis berita itu.

Saya cuma nak kata..... inilah antara bukti berita yang tersiar di Harakah ni selalunya tak berapa boleh nak dipercayai. Dan malangnya inilah 'lidah rasmi' sebuah parti yang dianggotai oleh 'alim ulamak'!......... ALAMAK!


No comments: