Friday, October 5, 2007

Jana Kekuatan Menjayakan Islam Hadhari

PETIKAN RENCANA KHAS DARIPADA SINAR HARIAN
:: RAIS ISKANDAR DANIEL
"Jika ada orang menuduh Manhaj Islam Hadhari ini sebagai satu agama baru, ia adalah satu pembohongan besar yang sengaja diada-adakan untuk mengelirukan umat Islam, pada hal mereka sendiri juga faham maksudnya."
Umat Islam di Malaysia tidak akan menjadi penghuni neraka atas alasan menyokong gagasan Manhaj Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana ia hanya ibarat 'kenderaan' untuk mencapai satu kemajuan lebih tinggi kepada umat Islam dan bangsanya sebagai asas pembinaan tamadun baru Islam.

Gagasan Islam Hadhari cuma satu hala tuju membina kemajuan insan yang dikupas dari inti ajaran Islam. Ia tidak ubah seumpama slogan Membangun Bersama Islam, tetapi Manhaj Islam Hadhari jauh lebih baik kerana menggariskan 10 prinsip panduan mencapai matlamat pengisian kemajuan berasaskan syariat Islam.

Antara 10 prinsip mencakupi soal keimanan, keilmuan, keadilan, kebebasan, ekonomi, kualiti hidup, hak kumpulan minoriti, budaya dan moral, alam sekitar dan pertahanan negara, isi yang dikupas dari ajaran Islam sebenar.

"Jika ada orang menuduh Manhaj Islam Hadhari ini sebagai satu agama baru, ia adalah satu pembohongan besar yang sengaja diada-adakan untuk mengelirukan umat Islam, pada hal mereka sendiri juga faham maksudnya."

"Sebab itu, saya katakan menyokong untuk mempercepat ke arah memperkasa pengisian agenda Manhaj Islam Hadhari yang dicetuskan oleh Pak Lah tidak akan membuat seseorang itu masuk neraka."

"Ini bukan agama baru atau mazhab baru, sekadar satu konsep berteraskan isi panduan yang diajarkan oleh agama Islam," kata Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Peranan Ulama Membina Tamadun Islam pada Multaqa Ulama dan Intelektual Negeri Kelantan 2007.

Dua kertas kerja yang diperkatakan ialah "Islam Hadhari Menjana Kegemilangan Ummah" oleh Datuk Mohd Shukri Mohamad dan "Beberapa salah faham/kekeliruan dalam Islam" oleh Prof Dr. Abdul Hayei Abdul Shukor.

Multaqa disertai lebih 1,600 peserta dianjurkan oleh Majlis Kemajuan Kelantan (MKK) dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)

Kebelakangan ini, terdapat pihak tertentu cuba mengelirukan Manhaj Islam Hadhari kononnya ia satu agama baru dibawa oleh Pak Lah. Kekeliruan ini sepatutnya tidak berlaku jika tidak wujud konflik kepentingan dalam soal-soal berkaitan Islam.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya itu jelas kecewa bahawa konflik kepentingan peribadi dikalangan yang bergelar ulama yang sengaja mencari kelemahan kecil umarak untuk diperbesar-besar, bukan untuk membantu menambah nilai kekuatan sebenarnya menjadi punca umat Islam seluruh dunia berada dalam kemunduran, tidak terkecuali Malaysia amnya dan Kelantan khasnya.

Prof Mahmood Zuhdi berkata, Kelantan kini kerugian kerana gagal membina kekuatan umat Islam sedia ada. Kelantan dulu juga dikenali 'orang Jerman' kerana kerajinan, ketekunan, kebijaksanaan dan memiliki jati diri untuk maju.

Begitupun, halangan tertentu untuk memperkasa umat Islam Kelantan terbantut kerana wujud aliran pemikiran yang sering tersalah arah. Jika umat Islam bersatu, kecemerlangan yang diharapkan akan lebih menyerlah.

"Islam menuntut umatnya maju dan mencipta kecemerlangan yang jauh lebih unggul dari bangsa-bangsa lain. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. ketika memperkasa umat Islam di Kota Madinah yang juga diistilah sebagai Islam Madani," katanya.

Persoalan al-Hadharah Islamiah hanya sekadar istilah pengertian, seumpama istilah tamadun atau peradaban yang hakikatnya membawa maksud yang sama. Kedua perkataan ini apabila diMelayukan disebut sebagai 'Hadhari' dan 'Madani'

Prof Mahmood Zuhdi berkata, perpecahan dan kelemahan umat Islam yang membawa kepada keruntuhan Tamadun Islam membuat Islam dilihat agama yang lemah dan menjiwai kemunduran, sedangkan Islam menganjur umatnya memiliki keterampilan yang cukup hebat dan berjaya dalam pelbagai kehidupan.

"Sampai bila umat Islam akan bergaduh kerana pengertian istilah dan ada pula cuba menanam bibit kebencian sesama umat Islam untuk kepentingan peribadi. Lantaran itu, sampai bila umat Islam akan bangkit menjadi penguasa bumi atas tuntutan Islam sendiri," katanya.

Menurutnya umat Islam sewajarnya memberi sokongan padu gagasan Islam Hadhari hari ini kerana Pak Lah bukan mengajak bangsa Melayu sesat, tetapi untuk memacu kecemerlangan agar lebih terbilang atas landasan Islam.

"Bukan mudah untuk melihat Perdana Menteri dari aliran pendidikan Islam mendapat kuasa. Semua ini adalah satu anugerah Allah s.w.t. dan belum tentu akan muncul dalam tempoh 100 tahun. Pak Lah memiliki latar belakang agama yang cukup sempurna dan memiliki niat murni menjulang syiar Islam yang sudah dianuti oleh bangsanya".

Prof Mahmood Zuhdi turut mengulas peranan ulama apabila bertukar menjadi umarak, peranannya dan fungsinya yang perlu berunah. Sebagai contoh, Khalifah Abu Bakar al-Sidek tidak lagi berperanan sebagai ulama apabila bertukar menjadi umarak. Jesteru itu, Saidina Abu Bakar tidak ada fatwa ketika berperanan sebagai umarak dan kuasa itu turun kepada Saidina Umar al-Khatab.

Kebangkitan Islam di zaman Khalifa al-Rasyidin juga mewarisi prinsip di zaman pimpinan Khalifah Empat, apabila ulama bertukar menjadi umarak, segala fatwa diserahkan kepada ulama yang diserah kuasa oleh umarak.

Di Malaysia prinsip ini dipertahankan dan ulama boleh menegur umarak dalam pelbagai perkara secara bijaksana, disamping umarak juga memiliki pertimbangan tertentu yang membabitkan muslihat pentadbiran yang membabitkan pelbagai keperluan bangsa.

Mahmood Zuhdi mengambil kesimpulan bahawa kini bukan wahyunya umat Islam bergaduh dan bermasam muka kerana perkara remah yang lebih bermotifkan politik jika ingin melihat bangsa Islam mencapai kejayaan gemilang dan terbilang.


1 comment:

Anonymous said...

walau bagaimanapun,tahniah diucapkan kepada Islam Hadhari bahawa baru2 ini di persidangan APEC di Australia George W. Bush memuji Islam Hadhari yang diamalkan di Malaysia.Bush kata Islam Hadhari ini bagus,baik dan sebagainya.

pelik tak George W. Bush yang sememangnya bermusuh dengan Islam tiba2 memuji Islam Hadhari?apapun tahniah kerana kamu mendapat rakan baru iaitu seorang musuh Islam yang bernama George W. Bush.