Friday, November 23, 2007

HarakahDaily.net akhbar penglipurlara

Siapa yang sudah membaca artikel 'What the eye does not see' yang ditulis oleh Raja 'Kapor' di Malaysia Today?

Puak-puak 'baju kuning' barangkali tersenyum lebar bila membaca tulisan itu. Maka mereka akan terus 'perasan' dan khayal dengan cerita dongeng Raja 'Kapor' yang terkenal dengan kisah-kisah penglipurlaranya.

Malangnya cerita-cerita dongeng yang begitulah yang diulas oleh pengarang HarakahDaily.net yang menjadi wadah media PAS.

Bersungguh-sungguh benar mereka cuba terus mempengaruhi rakyat supaya jangan percaya dengan pengumuman Pegawai Pengelola Istana Negara tentang penafian perhimpunan 'baju kuning' mendapat restu Sultan Mizan.

Permainan bahasa yang digunakan "......Apabila 100,000 rakyat minta perkenan Agong untuk mengadap pada 10 November lalu, Agong tidak mengatakan 'tidak mahu' menerima 100,000 orang rakyat untuk mengadap beliau (baginda)"

Banyak bezanya antara 'mengadap' dengan menghantar memorandum!

Aktiviti menghantar memorandum bantahan bukanlah sesuatu yang pelik. Selama ini pun aktiviti begitu seringkali dibuat sama ada oleh NGO, parti politik pembangkang atau parti politik kerajaan terutamanya kepada kedutaan Amerika.

Cuma mungkin kali ini berbeza sedikit.... memorandum dihantar ke Istana Negara.

HarakahDaily.net sebagai lidah rasmi PAS telah sanggup merendahkan maruah mereka dengan menyebarkan cerita dongeng yang ditulis oleh seorang penglipurlara bertaraf 'raja'

Maka HarakahDaily.net kini sudah menjadi media penglipurlara sahaja tarafnya.... sedap dibaca tetapi tidak boleh dipercayai, kerana cerita penglipurlara hanyalah cerita khayalan sahaja.

Lihat cerita dongeng yang dipaparkan HarakahDaily.net kepada pembacanya......

Apabila peluru gas pemedih mata di ledakkan kepada peserta Himpunan Aman BERSIH di sekitar Masjid Jamek-Masjid India, 'khabar telah disampaikan' bahawa Briged ke-19 Regimen Askar Melayu di-Raja (RAMD) telah bersiap siaga, untuk merempuh masuk sekiranya berlaku kemalangan maut. Empat Belas Kerta Perisai telah sampai sebelumnya dari Sungai Petani dan berkhemah di Kem Tentera Sungai Buloh, bersedia untuk campurtangan dalam notis segera. Mereka hanya perlukan 10 atau 20 minit untuk sampai ke lokasi sekiranya terdapat tindakan keras keatas rakyat.

Butang kecemasan akan ditekan dan loceng akan berbunyi. Peristiwa 13 Mei 1969 telah menyaksikan kejadian sepertinya di Kampong Bharu. Regimen Askar Melayu bukan satu permainan, dimana Agong adalah Ketua Komander dan askar akan mematuhi arahan komander tanpa mengambil kira keselamatan nyawa mereka.

Sebab itulah tindakan polis mengendur. Tugas mereka dikurangkan dengan hanya diletakkan di persimpangan untuk menghentikan kereta bagi memberi laluan peserta Himpunan Aman BERSIH untuk melintas jalan dengan selamat. Regimen Askar Melayu di Raja terus bersiap siaga sehingga keesokkannya. Kemudian 14 kereta perisai, senyap-senyap keluar dari Sungai Buloh dan kembali ke Sungai Petani.

Itulah yang membimbangkan kerajaan. Agong tidak bertitah, baginda tidak mahu menerima mengadap wakil-wakil dari Himpunan Aman BERSIH 100,000 Rakyat. Bahkan Agong meminta nama-nama perwakilan yang mengadap. Dan apabila kerajaan mengugut untuk mengambil tindakan terhadap rakyat, Briged ke 19 RAMD telah dihantar ke Kuala Lumpur dengan 14 buah kereta perisai. Inilah caranya Agong mengatakan bahawa sekiranya kerajaan bertindak menembak para peserta Himpunan BERSIH, sebagaimana kerajaan menembak Suwandi dan Azman di Batu Burok, dia akan bertindak atas nama rakyat.

Wahhh! hebatnya kisah dongeng yang dipaparkan oleh mereka. Pengarang HarakahDaily pun mungkin sedar kisah khayalan yang dituturkan oleh penglipurlara 'raja' itu, tetapi kerana cerita itu sesuai dengan 'nafsu' mereka maka mereka pun sanggup diperbodohkan oleh si raja 'kapor'

Selepas ini pengarang HarakahDaily mungkin akan berkata..... cerita ini bukan mereka yang tulis tetapi oleh siraja 'kapor' dan disiarkan di Malaysia Today dan buletinonline.net.

Memanglah kisah ini bukan pengarang HarakahDaily yang tulis tetapi mengapa mereka juga sanggup menjadikan lidah rasmi PAS ini setaraf dengan media 'sampah' seperti yang lain-lain.

...............................................................................................

p/s

HarakahDaily sanggup menjatuhkan maruah mereka sendiri dengan menyiarkan kisah dongeng kerana semata-mata 'sesuai' dan 'kena' dengan kehendak nafsu mereka. Mereka bertanya 'Benarkah Sultan Mizan murka?'...... dan mahu rakyat tidak mempercayainya. Malangnya mereka lupa.... mungkinkah rakyat percaya dengan cerita dongeng seperti itu?

Barangkali kalau yang percaya pun hanyalah puak-puak 'baju kuning'!

“Saya dengan penuh kepercayaan yakin Seri Paduka tidak ambil bahagian apa-apa dalam perhimpunan itu, tetapi Baginda difitnah. Saya tetap di sisi menyokong Baginda,” titah Sultan Pahang.



No comments: