.............................................................................................
p/s
Maka tak perlulah sesiapa hendak menjawab atau mengulas tentang penggunaan 'kuning' semasa perhimpunan minggu lalu. Namun Anwar mungkin fikir... rakyat bodoh dan mudah diperbodohkan. Benarkah begitu?
Barangkali berita di bawah merupakan jawapan kepada apa yang 'tersirat' .......
Istana Negara tidak sokong perhimpunan haram
Oleh YULPISMAN ASLI
KUALA LUMPUR 16 Nov. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin amat kesal dengan dakwaan pihak tertentu kononnya baginda dan Istana Negara telah memperkenan serta menyokong perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di sini pada 10 November lalu.
Seri Paduka yang amat kecewa dengan penganjuran perhimpunan haram itu menegaskan, baginda dan Istana Negara tidak pernah pada bila-bila masa memperkenan atau memberikan apa-apa sokongan secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana pihak yang menganjurkan atau terlibat dalam perhimpunan tersebut.
Baginda tidak menyokong apa juga kegiatan berkaitan yang menyalahi undang-undang negara.
Kekesalan Seri Paduka itu dinyatakan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd. Safiain Wan Hasan pada sidang akhbar di Istana Negara hari ini.
Kenyataan itu yang dibuat atas titah Seri Paduka turut dihadiri oleh Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Mohd. Zuki Ali. Ia merujuk kepada perhimpunan haram anjuran Bersih di ibu negara pada 10 November lalu dan juga memorandum yang telah dikemukakan kepada Istana Negara pada hari yang sama.
‘‘Sebagai Ketua Utama Negara, menjadi tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan sistem pentadbiran negara berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sentiasa dihormati dan dipatuhi oleh semua,’’ kata Wan Mohd. Safiain.
Beliau berkata, Seri Paduka berharap rakyat sentiasa mematuhi undang-undang negara dan tidak melibatkan diri dalam apa juga kegiatan atau tindakan yang menyalahi atau bertentangan dengan undang-undang negara.
Katanya, Tuanku Mizan bertitah, setiap rakyat bertanggungjawab untuk memelihara ketenteraman awam demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.
‘‘Seri Paduka berharap agar rakyat dapat bersama-sama mengekalkan semangat persaudaraan dan perpaduan demi membina negara yang lebih makmur, bersatu padu dan dihormati,’’ kata Wan Mohd. Safiain.
Dalam kejadian Sabtu lalu, polis menahan 245 penyokong Bersih kerana terlibat dalam perhimpunan haram tersebut. Bagaimanapun, kesemua mereka dibebaskan selepas diambil keterangan.
Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan penyembur air untuk meleraikan perhimpunan haram itu yang disertai oleh kira-kira 4,000 penyokong.
Bersih bermula dengan penubuhan sebuah Jawatankuasa Bertindak Bersama Bagi Reformasi Sistem Pilihan Raya pada Julai 2005 hasil gabungan 70 pertubuhan termasuk enam buah parti politik. Organisasi itu ditubuhkan untuk mendesak reformasi dalam proses pilihan raya di Malaysia yang mereka dakwa sebagai tidak adil dan tidak telus.
Perhimpunan Sabtu lalu disifatkan sebagai antara yang terbesar pernah diadakan di Kuala Lumpur selepas perhimpunan reformasi pada tahun 1998.
Agong kesal dakwaan baginda sokong perhimpunan 10/11
KUALA LUMPUR 16 Nov. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin melahirkan rasa kesal dengan dakwaan kononnya baginda dan Istana Negara memperkenankan dan menyokong satu perhimpunan haram di sini Sabtu lepas.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan hari ini, Seri Paduka Baginda juga melahirkan rasa kesal dengan perhimpunan itu yang dianjurkan oleh satu kumpulan dikenali Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang disokong oleh parti-parti pembangkang.
Dalam kenyataan itu, Tuanku Mizan menegaskan bahawa baginda dan Istana Negara tidak pernah pada bila-bila masa jua memperkenankan atau memberikan apa-apa sokongan secara lansung atau tidak langsung kepada mana-mana pihak yang menganjurkan atau terlibat dalam perhimpunan haram itu dan apa-apa jua kegiatan lain yang berkaitan yang menyalahi undang-undang negara.
Sabtu lepas, Bersih yang disertai sebahagian badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan kesemua parti pembangkang mengumpulkan penyokong-penyokongnya di beberapa tempat di sekitar ibu kota termasuk Jalan Masjid Jamek, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Isnin lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaffar, berkata, dalam satu kenyataan bahawa Bersih mengambil keputusan menyerahkan memorandum itu kepada Yang di-Pertuan Agong setelah Tuanku sendiri memberikan perkenan Baginda, dan kehadiran Bersih ke Istana Negara pada hari Sabtu itu, adalah bagi menjunjung perkenan Tuanku untuk menyerahkan memorandum itu kepada wakil Baginda.
Tuanku Mizan bertitah sebagai Ketua Utama Negara, baginda bertanggungjawab untuk memastikan bahawa prinsip sistem pentadbiran negara berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sentiasa dihormati dan dipatuhi semua.
Baginda berharap agar rakyat Malaysia sentiasa bertindak dengan mematuhi undang-undang negara dan tidak melibatkan diri dalam apa-apa juga kegiatan atau tindakan yang menyalahi atau bertentangan dengan undang-undang negara.
“Setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk memelihara ketenteraman awam demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda juga berharap agar rakyat dapat bersama-sama mengekalkan semangat persaudaraan dan perpaduan demi membina negara yang lebih makmur, bersatu-padu dan dihormati.
Wan Mohd Safiain pula berkata, pihak pengurusan Istana Negara buat pertama kalinya memanggil media untuk menghebahkan kenyataan ini kerana Yang di-Pertuan Agong memandang serius perkara itu.
“Kebiasaannya Istana Negara mengeluarkan kenyataan melalui faksimili, tetapi kali ini terpaksa memanggil media untuk memastikan ia dapat dihebahkan kepada seluruh rakyat,” katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment