Thursday, October 4, 2007

Rencana Pengarang Al Haq

ISLAM HADHARI: PAS BAGAI CACING KEPANASAN
Multaqa Ulama dan Intelektual Islam Negeri Kelantan diyakini mampu memberikan impak besar kepada rakyat. Buktinya, program ini banyak mengupas tentang kekuatan yang bersifat tulen dalam memperjuangkan imej dan maruah negara. Jauh sekali ianya membicarakan soal kepartian yang sempit.

Motto multaqa anjuran Majlis Kemajuan Kelantan (MKK) ini cukup sarat dengan intipati yang hebat - "MANHAJ ISLAM HADHARI, MENJANA KELANTAN MITHALI". Ianya berjaya menarik minat ramai intelektual di negeri ini terutamanya Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Hasbullah Hasan dan timbalannya, Datuk Shukri Mohamed. Tokoh akademik lain yang turut memberi pendangan bernas ialah Prof Dr Abdul Hayei Abdul Shukor, Datuk Prof Dr Mahmud Zuhdi Abdul Majid, Datuk Prof Dr Husein Abdul Rahman, Prof Ir Zainai Mohamad dan Datuk Prof Mafausi Mohamed.

Secara jelas, Datuk Shukri telah menyokong gagasan Manhaj Islam Hadhari tanpa sebarang syak wasangka. Beliau membandingkan kekuatan Islam Hadhari jika dibandingkan dengan "Membangun Bersama Islam" ciptaan PAS. Sudah 17 tahun memerintah Kelantan, kehidupan rakyat semakin derita dan Islam menjadi agama yang bersifat retorik di bawah Kerajaan PAS.

Apakah pengisian Kerajaan PAS untuk mendaulatkan Islam selama 17 tahun mentadbir negeri ini? Rakyat boleh menjadi hakim yang baik jika mereka tidak berpihak kepada mana-mana parti seperti PAS atau UMNO.

Sebelum ini, PAS melalui pemimpin kanannya termasuk Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Islam Hadhari sebagi sesat dan menyesatkan. PAS menyifatkan Islam Hadhari bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh membawa rakyat khususnya umat Islam ke arah kehancuran.

Bagaimanapun, sejak Multaqa Ulama dan Intelektual Islam Negeri Kelantan diadakan pada 3 Ogos lalu, suara sumbang seumpama itu menjadi sepi. Multaqa yang digarap oleh MKK dan Pengerusi Jawatankuasanya ialah Datuk Md Alwi Che Ahmad telah berjaya membawa rakyat ke arah suatu bentuk pemikiran baru yang dinamik.

Kalau benar Islam Hadhari sesuatu yang sesat seperti mana yang difitnah oleh pemimpin PAS, sudah pasti ianya tidak akan disambut dengan tangan terbuka oleh Mufti dan Timbalan Mufti Kelantan. Lagipun, kehadiran intelektual Islam seperti Prof Dr Abdul Hayei, Datuk Prof Mahmud Zuhdi dan beberapa tokoh lain sudah tentu akan mewujudkan daya sepakat untuk mempraktikkan Islam Hadhari di Kelantan.

Kehadiran intelektual Islam ini tidak pernah diragukan oleh rakyat. Mereka juga terbukti bukan bersifat 'politik' bila hadir ke majlis seumpama ini. Yang nyata, mereka bersepakat untuk membantu pemimpin negara dalam mejayakan hasrat dan cita-cita yang berteraskan kepada 10 teras Islam Hadhari.

Akhirnya, pemimpin PAS Kelantan menjadi cacing kepanasan. Mereka tidak berani menyambut kesimpulan tentang Multaqa Ulama dan Intelektual Islam Negeri Kelantan sebagai sesuatu yang sesat.

Sebaliknya, PAS cuba memburukkan Mufti dan Timbalan Mufti Kelantan yang menghadiri Multaqa Ulama. Kata mereka (melalui Wasilah), bila intelektual berada dalam majlis UMNO, akan hilang 'serinya'. PAS memperlekehkan Prof Dr Uthman El Muhamady kerana telah lama bersama UMNO.

Dan kini mereka cuba memperlekehkan pula Datuk Hasbullah kerana menghadiri majlis anjuran UMNO. Sudah nampak sangat betapa pemimpin PAS mahu agar Datuk Hasbullah juga turut diperlekehkan oleh rakyat. Banyak gambaran buruk telah dibuat secara 'halus' dengan mendakwa bahawa Mufti Kelantan telah melangkah jauh. Rencana itu turut memberitahu bahawa selama ini Mufti hanya kelihatan pada majlis dihadiri Sultan dan Raja Perempuan. "harap-harap tag yang dipakai oleh Datuk Hasbullah tidak tersemat lambang dacing," demikian kata penulis dalam Wasilah.

Inilah kehebatan PAS dalam mencari idea buruk agar rakyat khususnya ulama tidak mendekati UMNO. Mereka membuat ugutan dengan cara paling halus betapa ulama yang mendekati UMNO tidak akan didekati oleh rakyat. Padahal, ulama besar yang mendapat pengiktirafan dunia terdiri daripada mereka yang berpihak kepada idealisme UMNO.

Secara tegasnya, perjuangan UMNO untuk memartabatkan Islam lebig praktikal. Ianya tidak lebih seumpama 'gitar tua' yang dialunkan oleh PAS dalam jangka masa yang begitu lama dan sudah ketinggalan zaman.

Rahsia keburukan pemimpin PAS untuk menjadikan ulama sebagai 'kambing hitam' dalam UMNO tidak kesampaian. Dokongan besar ulama terhadap perjuangan Islam Hadhari telah menjarakkan rakyat daripada PAS.

Sebab itulah pemimpin PAS umpama cacing kepanasan. Mereka kini berhempas pulas mencari idea buruk yang terkini semata-mata untuk mendapat sokongan rakyat.

Walaupun begitu, semakin rakyat diadu domba oleh PAS, hasrat Islam Hadhari semakin diberi sokongan padu. Rakyat melihat Pak Lah dan pemimpin UMNO tidak mempunyai sesuatu yang tersirat selain untuk membawa proses ketamadunan yang tinggi kepada negara. Akhirnya Islam akan berkembang maju mengikut peredaran masa yang semakin mencabar.

Biarlah PAS terjun dengan labu-labunya. Hasrat mereka untuk meranapkan Islam Hadhari tidak tercapai. Cuma rakyat perlu ingat betapa 'jerat' politik sentiasa dipasang oleh PAS. Tapi awas - sebab pelanduk (PAS) mudah lupa kepada jerat yang dipasangnya sendiri!

Biarkan! Biarkan!

No comments: