Tuesday, February 27, 2007

Isu roboh 42 rumah hangatkan sidang Dewan


Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan HERMAN HAMID

KOTA BHARU 26 Feb. - Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini hangat apabila anggota pembangkang, Datuk Mohd. Zain Ismail (BN-Bukit Tuku) dalam perbahasannya membangkitkan isu meroboh 42 rumah di Simpang Tiga Repek, Pasir Mas.

Beliau menyifatkan tindakan kerajaan negeri menangani isu berkenaan sebagai menzalimi rakyat dan tidak selari dengan pemerintahan yang kononnya berdasarkan Membangun Bersama Islam.

Mohd. Zain menegaskan, pihaknya mungkin membawa kes itu ke mahkamah agar rakyat yang berasa teraniaya dengan sikap kerajaan negeri mendapat pembelaan sewajarnya.

Walaupun diingatkan berkali-kali oleh Speaker, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah agar tidak menyimpang jauh dari perbahasan mengenai tambahan peruntukan bagi pelaburan, beliau terus mempertahankannya dengan menegaskan perkara itu ada kaitan.

Penyokong kerajaan, Zaki Ibrahim (Pas-Kelaboran) beberapa kali bingkas mencelah dan mengingatkan ia bertentangan dengan peraturan dan turut melemparkan perkataan ‘bodoh’.

Media sebelum ini melaporkan mereka yang menduduki tanah rizab kerajaan itu diarah berpindah pada 21 Februari lalu setelah beberapa notis dikeluarkan bagi membolehkan kerja melebarkan jalan dilakukan.

Menurut Mohd. Zain, rumah- rumah yang dihuni lebih 200 penduduk telah didirikan sekitar tahun 1960-an ketika geran tanah belum lagi dikeluarkan, namun tiada apa-apa pampasan atau bantuan diberikan kepada mereka.

‘‘Nilai keseluruhan rumah itu dianggarkan RM650,000 dan kerajaan tidak membincangkan soal kesejahteraan rakyat.

‘‘Ia suatu tindakan tiada akal budi dan boleh dianggap zalim. Kalau nak dirobohkan dan disuruh pindah, berilah sedikit bantuan.

‘‘Kalau soal tanah, rumah, kerajaan tak bayar (pampasan) ia semacam tidak mahu bertanggungjawab terhadap masalah rakyat sehingga ada yang pindah ke rumah jiran dan menumpang di Balai Penggawa,” ujarnya.

Mohd. Zain percaya Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak mengetahui keadaan itu dan sekiranya pemerintahan berdasarkan Pembangunan Bersama Islam, apa yang dialami oleh penduduk terbabit tidak akan berlaku.

‘‘Apa yang berlaku ialah rakyat teraniaya, mereka menangis dan saya tuntut supaya mereka sekurang-kurangnya diberikan RM1,000 seorang,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh mengenai pelaksanaan program Takaful yang menyediakan bantuan kewangan sekiranya warga emas di negeri in meninggal dunia atau mengalami kecacatan anggota akibat kemalangan atau penyakit.

‘‘Apa yang berlaku di peringkat bawah, skim ini telah dipolitikkan. Buatlah secara adil untuk semua rakyat yang layak, biarlah ia berjalan secara sihat,” jelasnya.

Dipetik daripada Utusan Malaysia Online
http://www.utusan.com.my/


****************************************************************

p/s
Waaaa!... dah pandai roboh-roboh rumah pulakkk. Selalunya kita dengar roboh rumah ni kat Kuala Lumpur je, sekarang ni kat kampung pun dah pakai roboh jugak.

Bezanya kalau rumah setinggan di Kuala Lumpur dirobohkan, mereka selalunya akan ditawarkan sekurang-kurangnya sebuat rumah flat. Malangnya kat Kelantan jangankan diberi pilihan untuk memiliki rumah daripada kerajaan, mereka hanyalah sekadar menerima sekeping notis sahaja. Setakat notis tu saja la!

Nik Aziz tentunya akan kata... bersabarlah, ini adalah dugaaan Allah, terimalah suratan takdir. Dan kalau ditanya banyak-banyak kali rasanya dia akan kata...."ambo nok wat lagu mano?, pindoh ja la"

Penduduk di Simpang Tiga Repek, Pasir Mas yang diarahkan berpindah itu berbeza dengan setinggan di Kampung Medan, kampung Kerinci atau yang lain-lain di Kuala Lumpur. Mereka sudah berada di situ sejak 1960-an, sejak belum ada geran yang mengatakan tanah mereka adalah tanah rizab kerajaan. Mereka tidak boleh dianggap sebagai setinggan.

Inilah yang saya katakan, kerajaan Kelantan melakukan tindakan mereka kelihatan sah di atas kertas, tetapi mereka membelakangi moral sebagai sebuah kerajaan pimpinan Ulamak. Bagi 200 orang rakyat kecil di sana, kerajaan pimpinan ulamak sudah jadi KERAJAAN ALAMAK!

No comments: